Tekanan darah normal dalam kalangan orang dewasa ialah 120/80 mm Hg. Apabila tekanan darah adalah sama atau melebihi 140/90 mm Hg, ia dianggap naik atau tinggi.
Dalam hal ini, lebih tinggi tekanan darah maka lebih tinggi pula risiko kerosakan kepada jantung dan saluran darah dalam organ-organ utama seperti otak dan buah pinggang.
Tekanan darah tinggi juga dikenali sebagai pembunuh senyap kerana tidak mempamerkan sebarang gejala. Jika dibiarkan tidak terkawal boleh membawa kepada serangan jantung dan akhirnya kegagalan jantung.
Bukan itu sahaja, penyakit ini juga boleh menyebabkan kegagalan buah pinggang, buta, dan kerosakan kognitif.
Menurut Profesor Bersekutu, Fakulti Perubatan, Pusat Perubatan Universiti Malaya, Dr. Chee Kok Han, statistik di Malaysia menunjukkan seramai 5.8 juta rakyat mengalami penyakit tekanan darah tinggi dan angka ini sebenarnya semakin membebankan sistem penjagaan kesihatan kita.
Katanya, walaupun setiap kali statistik dikeluarkan dan angkanya semakin meningkat, rakyat masih terus mengamalkan tabiat yang tidak sihat seperti amalan pemakanan yang tidak sihat, kurang bersenam, pengambilan gula yang tinggi, dan sebagainya.
“Rakyat Malaysia perlu lebih peka terhadap diet, pengambilan makanan, dan proaktif dalam penjagaan kesihatan mereka sendiri.
“Ini kerana promosi kesihatan dan program pendidikan kesihatan tidak membawa apa-apa makna jika kita tidak dapat memberi perubahan kepada cara hidup yang diamalkan.
“Oleh yang demikian, kita perlu memanfaatkan pengetahuan kesihatan dalam tindakan kita dengan membuat keputusan untuk bersenam yang mencukupi, menjaga diet, dan memilih gaya hidup sihat yang akhirnya akan mengurangkan insiden penyakit yang berpunca daripada gaya hidup tidak sihat di negara ini,” ujarnya.
Tambah beliau, tidak patuh terhadap pengambilan ubat juga merupakan salah satu faktor penyebab kepada bertambahnya statistik pesakit tekanan darah tinggi di negara ini.
Ini terjadi kerana kadar pematuhan yang rendah didapati memberi kesan negatif kepada usaha mengawal tekanan darah.
Mengikut laporan, hanya 53.4 peratus daripada pesakit tekanan darah tinggi mematuhi jadual pengambilan ubat seperti yang diarahkan.