Ahad, 5 Mac 2017

Fakta Menarik Berkenaan Jantung

Beberapa fakta menarik mengenai jantung kita yang diambil dari perkongsian Dr Haizal Haron Kamar. Diharap dengan perkongsian ini kita dapat sama-sama menjaga kurniaan yang amat berharga ini sebaik mungkin dan seterusnya menghindari gejala penyakit jantung.


  • Saiz jantung dewasa adalah besar sedikit daripada genggaman tangan. Beratnya pula antara 300 gram (gm) hingga 400gm iaitu anggaran berat satu tin minuman ringan. 
  • Kedudukan jantung adalah di tengah-tengah dada di antara kedua-dua paru-paru dan bukan di bahagian kiri seperti disangka ramai. Kira merasakan denyutan jantung di sebelah kiri dada kerana Apeks jantung menyentuh bahagian itu.
  • Jantung adalah organ yang pertama berfungsi. Ia akan mula berdenyut apabila janin dalam kandungan berusia seawal empat minggu. Jantung akan terbentuk sepenuhnya apabila usia janin meningkat ke lapan minggu dan saiz janin sepanjang 2.5 sentimeter.
  • Jantung berfungsi secara automatik. Jantung tidak boleh dikendali mengikut kehendak kita. Ia tidak boleh ‘menurut atau diperintah’. Kita tidak boleh menghentikan denyutan jantung walaupun untuk seketika, Ia akan terus berdenyut secara automatik hingga berakhirnya hayat seseorang itu.
  • Saiz aorta hampir bersamaan saiz hos air yang biasa digunakan di rumah dan saiz kapilari pula adalah 10 kali ganda lebih kecil daripada sehelai rambut. 
  • Panjang saluran darah dalam sistem ini hampir 100,000 kilometer atau bersamaan 2 kali jarak mengelilingi dunia!
  • Arteri koronari pula adalah nama saluran darah di permukaan jantung yang membawa oksigen dan nutrien dari aorta ke otot jantung. Koronari berasal daripada perkataan Latin ‘korona’ dan Yunani ‘koron’ yang bermaksud mahkota atau ‘crown’ di dalam Bahasa Inggeris. Ini kerana arteri koronari yang mengelilingi permukaan jantung dilihat seolah-olah seperti mahkota yang terletak di atas kepala. Jika arteri koronari ini tersumbat secara tiba-tiba dan aliran darah tidak sampai ke otot jantung, oto t jantung akan rosak dan serangan jantung akan berlaku.
  • Satu-satunya fungsi jantung ialah sebagai pam untuk menghantar darah yang kaya dengan oksigen dan nutrien ke seluruh badan. Selepas itu darah yang kurang beroksigen kembali ke bahagian kanan jantung melalui satu litar yang kompleks sebelum disalurkan ke paru-paru untuk diperkayakan semula dengan oksigen. Darah ini kemudian kembali ke bahagian kiri jantung untuk dipam ke seluruh badan. Satu pusingan peredaran darah di litar ini mengambil masa lebih kurang 23 saat. Ini bermakna darah membuat pusingan mengelilingi litar ini sebanyak lebih kurang tiga kali dalam masa satu minit.
  • Darah mengalir melalui jantung dalam satu arah saja. Proses ini boleh terjadi dengan adanya empat injap di dalam jantung. Apabila injap terbuka, ia memberi laluan kepada darah untuk mengalir keluar dari satu bahagian jantung ke bahagian jantung yang lain. Injap ini menghalang pengaliran darah dari berpatah balik ke belakang. Mekanisme penutupan injap ini menghasilkan bunyi degupan jantung “lub-dub” yang didengar oleh doktor ketika menggunakan stetoskop. Jika injap menjadi sempit atau bocor masalah akan timbul seperti cepat penat ketika berjalan atau bersenam, berdebar-debar, bengkak kaki dan abdomen.
  • Jantung adalah organ yang sangat kuat dan bertenaga. Kekuatan tenaga jantung adalah umpama kita menggenggam sebili bola tenis dengan sekuat tenaga. Inilah anggaran tenaga yang digunakan oleh jantung setiap kali ia mengepam darah ke seluruh badan. Jantung berupaya menghasilkan tekanan yang boleh memancutkan darah sejauh 10 meter setiap kali ia mengecut. Otot jantung bekerja dua kali ganda lebih keras daripada otot kaki seorang yang sedang berlari pecut. Dalam tempoh satu jam, Tenaga kerja yang dihasilkan oleh jantung dalam masa satu jam bersamaan tenaga yg digunakan untuk mengangkat barang seberat hampir 1,400 kilogram setinggi 30 sentimeter. Tenaga yang dijanakan jantung sepanjang hayat seseorang pula umpama mengangkat satu kapal perang besar keluar dari air. Bagaimanapun, jantung seseorang itu  boleh menjadi lemah apabila jantung gagal berfungsi secukupnya untuk mengepam darah ke seluruh badan. Antara sebab utama bagi kelemahan jantung adalah kerosakan teruk pada otot akibat serangan jantung.
  • Jantung mengepam sebanyak 70 mililiter darah setiap kali berdenyut atau bersamaan lebih kurang lima liter darah dipam seminit. Ini bermakna untuk tempoh satu jam, 300 liter darah, dan di dalam satu hari lebih kurang 7,200 liter darah dipam oleh jantung kita. Sepanjang hayat seorang manusia, jantung mengepam lebih daripada satu milion tong darah. Ini cukup untuk mengisi dan memenuhi kapasiti tiga kapal tangki minyak yang besar!
  • Jantung tidak tahu erti penat. Jantung terus berdenyut sama ada anda bekerja atau tidur. Ia tetap berdenyut antara 60 dan 80 kali dalam tempoh satu minit. Kadar ini menurun apabila usia kita meningkat. Secara purata, jantung berdenyut hampir 100,000 kali sehari, dan lebih kurang 2.5 bilion kali sepanjang hayat, tanpa rehat, walaupun untuk seketika.

Jantung adalah organ yang hebat malah lebih hebat dari mana-mana mesen yg dicipta manusia. Kita seharusnya menjaga dengan sebaik mungkin organ ini demi menjamin kesihatan dan kesejahteraan kita.

Tanyalah diri sendiri, adakah kita telah memberi jantung kita penjagaan yang baik dan sempurna? Tepuk dada tanya selera. Kami boleh membantu anda dari aspek penjagaan jantung anda.




Tiada ulasan: