Selasa, 14 Mac 2017

Kaedah baru rawatan jantung

Dipetik dari artikel kesihatan Utusan Malaysia bertarikh 9 Januari 2011.

SETIAP tahun, jumlah kemasukan pesakit ke hospital akibat pelbagai komplikasi jantung melebihi 100,000 kes manakala hampir 12,000 kematian direkodkan akibat serangan jantung . Majoritinya berusia 60 tahun ke atas.

Tetapi sekarang, lebih ramai lelaki muda yang berusia kurang 40 tahun meninggal dunia kerana serangan jantung dan kira-kira 500 kematian setiap tahun telah direkodkan.

Penyakit jantung merupakan pembunuh nombor satu dunia yang dianggarkan meragut 17.5 juta nyawa setiap tahun.

Justeru itu, PPUM mengambil inisiatif untuk menawarkan Extracorporeal Shockwave Myocardial Revascularization ( ESMR ) sebagai rawatan terkini penyakit jantung.

Mesen ESMR
Menurut Dr. Zul Hilmi, ESMR hanya sesuai untuk pesakit jantung yang tidak boleh menjalani angioplasti atau pembedahan pintasan jantung.

ESMR berperanan menghantar gelombang kejutan pada dos berbeza ke atas beberapa otot jantung yang tidak mempunyai cukup pengaliran darah (ischemia).

Penghantaran gelombang kejutan tersebut akan merangsang pertumbuhan pembuluh darah yang baru di dalam otot jantung (angiogenesis) seterusnya menggalakkan pembekalan oksigen dalam bekalan darah,” ujarnya.

ESMR ini boleh dilihat sebagai rawatan pelengkap kepada pesakit jantung setelah mereka masih tidak pulih dengan memakan ubat melalui preskripsi doktor dan tidak sesuai menjalani rawatan pintasan jantung atau angioplasti.

Pesakit perlu menjalani rawatan tiga kali dalam seminggu untuk minggu pertama sebelum dia direhatkan selama tiga minggu.

Rawatan seterusnya akan dijalankan pada minggu kelima dan kesembilan di mana tiga lagi sesi rawatan akan dijalankan bagi tiap-tiap minggu tersebut.

Secara keseluruhannya, pesakit perlu menjalani rawatan sebanyak sembilan kali.

Namun, dalam rawatan ini, masalah pada saluran darah jantung tetap ada tetapi ia merangsang pembukaan atau pertumbuhan salur darah yang baru. Kemudian ia meningkatkan pengaliran darah ke dalam otot jantung.

Kos bagi rawatan ESMR adalah kira-kira RM2,500